Monday 28 August 2017

CUKAI HARTA



Apakah itu Cukai Harta?

Cukai Harta atau Taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap pegangan berkadar dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Kulai seperti:

  • Rumah Kediaman
  • Harta Perusahaan dan Perdagangan (Kedai, Kilang, Hotel dan Sebagainya) - Tanah Kosong
  • Tanah Pertanian Unit-Unit dalam rumah pangsa, kondominium, bangunan pejabat dan lain-lain bangunan bertingkat juga merupakan pegangan berkadar yang dikenakan cukai harta.

Bagaimana Ianya Dikira?

Cukai harta dikira berdasarkan kepada Nilai Tambah dan Kadar. Nilai tambah berasaskan kepada Harga Pasaran Harta pada satu aras nilai tertentu. Kadar pula adalah peratus yang dikenakan ke atas nilai harta tersebut sebagai cukai harta yang perlu dibayar. Nilai Tambah Harta boleh dipinda sekiranya terdapat perubahan pada harta atau berlaku kesilapan atau ketidakseragaman mengikut Seksyen 144(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Pemilik harta boleh membuat bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan pindaan tersebut. Bantahan hendaklah dibuat secara bertulis sebelum tamat tempoh yang diberikan.


Bila Ia Perlu Dibayar?

Cukai harta perlu dibayar 2 kali setahun iaitu:

  • Tahun Pertama - 1 Januari Hingga 28 Februari bagi tiap-tiap tahun.
  • Tahun Kedua - 1 Julai Hingga 31 Ogos bagi tiap-tiap tahun

Apa Perlu Dibuat Jika Bil Cukai Harta Tidak Diterima?

Sekiranya anda tidak menerima bil cukai harta, anda boleh datang sendiri ke Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Majlis Perbandaran Kulai untuk mendapatkan bil-bil anda. Jangan lupa bawa bersama maklumat-maklumat seperti berikut:

  • No Lot/Rumah dan Kedudukan Harta atau
  • No Akaun (Jika Ada) atau
  • Bil Lama Untuk Rujukan

Jika anda hanya seorang penyewa bangunan tersebut, apa harus anda lakukan?

Anda perlu menyerahkan bil dan notis Borang E kepada pemilik. Jika pemilik tidak menjelaskan tunggakan tersebut, tindakan menahan harta penyewa boleh diambil. Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Kulai boleh mengecualikan tindakan tersebut dengan menawarkan kepada penyewa supaya membayar sewa premis terus kepada Majlis Perbandaran Kulai  sehingga tunggakan cukai dijelaskan sepenuhnya sebagaimana peruntukan Seksyen 151(5)(6) Akta 171.


Bolehkah tunggakan cukai dibayar secara ansuran?

Tungakan boleh dibayar secara ansuran sekiranya jumlah tunggakan dalam jumlah yang besar. Borang permohonan boleh diperolehi di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Kulai. Majlis akan menetapkan jumlah ansuran bulanan yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.



Sunday 27 August 2017

TIPS 3R : KEARAH PERSEKITARAN YANG BERSIH DAN LESTARI

Tahukah anda bahawa dalam setahun, setiap isi rumah menghasilkan lebih 1 tan sisa pepejal?

" Sisa Pepejal merupakan apa-apa bahan sekerap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa-apa proses"



Sumber: Berita Harian, 29 Mac 2017

Tahukah anda mengenai tips 3R?

"3R adalah merujuk pada Reduce, Reuse dan Recycle"



REDUCE : Mengurangkan Penggunaan Pepejal

Pengurangan penghasilan sampah boleh dilakukan dengan:
    • Hanya membeli barang yang diperlukan
    • Membeli produk yang boleh digunakan semula
    • Membeli produk yang menggunakan pembungkus kecil
    • Jual semula atau beri kepada orang lain barangan yang tidak digunakan.

REUSE: Guna semula bahan-bahan terpakai 

Terdapat banyak item yang anda fikirkan ia adalah sampah tetapi sebenarnya  boleh digunakan untuk tujuan lain antaranya:
    • Kertas dan surat: boleh digunakan sebagai kertas sekerap dalam membuat nota.
    • Kadbod, Suratkhabar dan Pembalut Gelembung: boleh digunakan sebagai bahan pembungkus.
    • Balang dan Periuk: boleh digunakan sebagai bekas hiasan seperti pasu bunga

RECYCLE: Kitar Semula 

Kitar Semula merujuk kepada meletakkan sesuatu dalam kitaran. Kita mengitar semula dengan mengasingkan sisa dan kemudian menyalurkannya kepada organisasi atau kilang-kilang yang memprosesnya semula supaya menjadi produk baru untuk kegunaan kita.

Apakah Bahan yang boleh dikitar semula?
  1.  Kertas: Majalah, Surat Khabar, Buku, Kotak Kadbod
  2. Plastik: Botol Plastik Lutsinar / Berwarna
  3. Aluminium: Tin Minuman / Makanan
  4. Kaca: Kaca Lutsinar / Berwarna, Botol Minuman, Botol Vitamin, Bekas Kosmetik

 Fakta Kitar Semula

Fakta 1 : Dengan mengitar semula 1 tin aluminium anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik 3 jam televisyen.
Fakta 2 : Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum anda dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok.
Fakta 3 : 18,000 tan sampah dihasilkan sehari mampu memenuhi KLCC dalam tempoh 8 hari sahaja (data tahun 2005)
Fakta 4 : Dengan mengitar semula 1 botol kaca anda seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu 100 watt selama 4 jam.




Tuesday 22 August 2017

Panduan Dan Langkah Menghadapi Banjir

Persediaan Sebelum Banjir
  • Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Periksa lubang air seperti longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  • Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
  • Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.

Sebelum Banjir - Semasa Tanda-Tanda Dikesan
  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  • Pindahkan perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  • Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.

Semasa Banjir - Semasa Pemindahan
  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
  • Berpindah awal sebelum banjir meningkat tau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.

Semasa Banjir - Di Dalam Kenderaan
  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
  • Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.

Semasa Banjir - Di Dalam Rumah
  • Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
  • Bersedia dengan peralatan kecemasan.
  • Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.

Semasa Banjir - Di Luar Rumah
  • Pergi ke tempat tiggi dan selamat.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh meghanyutkan anda.
  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
  • Jangan minum air banjir.

Selepas Banjir
  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mungkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.

Selepas Banjir - Semasa Memasuki Bangunan/Rumah
  • Pakai kasut.
  • Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.

Selepas Banjir - Periksa Ancaman Bahaya
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yag terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
  • Laporkan sebarang kerosakan kemudaha-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa




Sumber Maklumat: Jabatan Penerangan Malaysia



Perucapan YDP Sempena Hari Raya Aidiladha

"Selamat berangkat kepada jemaah haji, Semoga mendapat haji yang mabrur, Saya juga mendoakan agar para jemaah diberikan kesihatan yang sejahtera sepanjang menunaikan haji sehingga pulang ke tanah air "  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Haji Farizal Bin Ismail 


Monday 21 August 2017

PERTANDINGAN PENCAHAYAAN , KECERIAAN DAN LANSKAP BANGUNAN ATAU PREMIS SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KALI KE 60 PERINGKAT DAERAH KULAI



BORANG PERTANDINGAN BOLEH DIDAPATI DI JABATAN LANSKAP , MAJLIS PERBANDARAN KULAI.

Kategori:
1. Bangunan Kerajaan
2. Bangunan Swasta
3. Bangunan Sekolah
4. Kompleks Perniagaan
5. Premis kediaman